“Abang..hari tu ingat period dah habis. Ayang
dah mandi, dah solat. Tapi hari ni keluar balik..kira period balik ke bang? ”
” Maybe kot. Try search kat google..”
” Dah tapi macam tak paham sangatla bang. Erm, Kak
Erma cakap dekat masjid belah pagi ada kuliah muslimat, ada ustazah ajar
masalah-masalah macam ni..”
“Buat apa..cari je kat youtube. Banyak
kuliah-kuliah dalam tu. Lagipun abang sibuk, mana sempat nak hantar nak ambik
kat masjid..”
Dan si isteri terus terdiam. 3 tahun perkahwinan,
isu yang sama berulang, si suami pula terus menerus memberi alasan.
*****************
Asal kepada seorang wanita adalah pengikut.
Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.
Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya
dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.
Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.
Apa peranan imam dalam solat?
Guide makmum, kan? Apabila selesai dibaca
Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut
rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.
Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau
terlupa dalam bacaan surah?
Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan
bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.
Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar
diaplikasikan dalam hidup.
Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala
tatatertibnya.
Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan
segala undang-undang dan aturannya.
Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk
menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang
benar, betul dan tepat.
PERKAHWINAN
Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua.
Bukan juga sampai tua.
Ia perjanjian sampai mati.
Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan
masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.
Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana
digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi
seorang ketua.
Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai
lafaz akad nikahmu.
Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar
mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun
entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai ‘bab orang perempuan’ yang tidak
perlu diketahui oleh lelaki.
Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri
bila disoal tentang itu.
” Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun
takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! ”
Suami yang bertanggungjawab tidak akan
mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi
suami yang mahu lari dari tanggungjawab.
Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu
perkara wajib bagi suami?
Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid,
nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?
Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar
isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara
tersebut?
MENCARI SEORANG IMAM
Tak kacak tak apa, sebab lelaki memimpin bukan
dengan kekacakan.
Tak kaya tak apa, sebab kekayaan bukan asbab
hebatnya kepimpinan.
Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap
tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.
Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi
rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung
menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara
remeh.
Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang
imam tidak mudah.
Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu
memastikan dia seorang imam yang baik?
Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik
sebagai imam.
Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama
itu terbaik sebagai imam.
Ada juga yang merasakan lelaki ‘berpengajian agama’
itu paling baik sebagai imam.
Saya geleng kepala.
Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita
hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.
Pun begitu, saya suka mencadangkan.
Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang
istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu
dinamakan tempoh ‘suai-kenal’ atau istilah rasminya , bertunang.
Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik
mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan ‘sepenuh ketaatan’ kepada si
tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman
dan tengok wayang.
Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja
agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.
MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG
Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda
menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.
Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method
yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.
Antara method yang mungkin anda boleh gunakan
adalah, method perbincangan.
Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan
dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada ‘kewajipan’ sebagai isteri yang
perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh
mengatakan ‘tidak’ kepada dia jika tidak kena caranya.
Method berbincang, jika kena caranya, boleh memberi
gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam
ataupun tidak.
Malangnya, method perbincangan ini tidak banyak
digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan
berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan,
biarpun tersingkap seribu kekurangan.
Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah
pertunangan.
ASALKAN DIA BAIK ?
Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia
baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.
Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki
yang baik.
Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik
atau tidak.
Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang
tutup aurat semua baiklah?
Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang
yang baik mestilah akan menutup aurat.
Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan
soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan
meremehkan soal agama.
Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar
mempunyai ciri-ciri seorang imam.
Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki
yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.
Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama,
dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.
Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke
syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh
membimbingmu untuk sampai ke sana?
Buatlah pilihan dengan bijak.
Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan
semata-mata seorang jejaka.
“CARILAH”
LELAKI yang MAMPU menjadi IMAM untuk KAMU,
Yang MENITISKAN AIR MATANYA apabila MELIHAT
KESAKITAN KAMU KETIKA MELAHIRKAN ZURIATNYA ,
Dan LELAKI yang MEMBANGUNKAN KAMU untuk BERIBADAT
BERSAMA – SAMA DI SEPERTIGA MALAM .
JIKA PENCARIAN ITU TELAH KAMU TEMUI , JANGAN LUPA
BERSYUKUR KEPADA-NYA . jadilah, PERMAISURI HATINYA
, PENEMAN DIKALA SUKA dan DUKA, PENGUBAT RINDU dan LARA..
kopipaste